Monday, May 12, 2008

Sekadar Peringatan

Saya hanyalah seorang penulis yg baru 'belajar' menulis di ketika sunyi kerana mudah mendapat ilham. Banyak idea yang 'tersembunyi' berjaya dikeluarkan.
Ketika ini, berlaku beberapa peristiwa yang perlu difikirkan bersama sama ada yang telah, sedang dan akan berlaku. Saya begitu terkejut dengan peristiwa yang telah berlaku sekarang ini iaitu isu Babi. Mengapa binatang ini cukup popular (walaupun dipandang jijik oleh orang Islam) pada masa ini mengalahkan harimau yang mengaum di rimba, itik yang pulang petang, kerbau yang menguek di bendang atau pun gajah yang mengganas di kampung-kampung. Apa tidaknya, babi akan diberi 'pengiktirafan' tidak lama lagi kerana akan diternak secara besar-besaran di Selangor, diberi kemudahan yang baik, sistem kumbahan yang elok, dan suntikan sebanyak RM 100 juta untuk hidup sejahtera. Kalah kehidupan rakyat nampaknya. Apa yang dikesalkan ialah mengapa orang Melayu sendiri yang menyokong. Baru-baru ini penulis masih teringat kata-kata salah seorang pemimpin sebuah parti politik yang dianggap 'popular' sekarang ini. Beliau berkata babi adalah haram, najis, mengapa diternak di sini (Selangor) dan sebagainya sebelum pilihanraya. Selepas pilihanraya, beliau membisu seribu bahasa kerana rakan seperjuangannya memutuskan bahawa babi akan diternak secara besar-besaran. Saya rasa beliau malu nak cakap bab ini sebab dah terlanjur cakap. Itulah, kalau nak bercakap, fikir-fikirlah. Dek kerana nak meraih undi, apa saja yang keluar di kepala dikeluarkan tanpa fikir apa kesan yang akan berlaku. Cukuplah.. kebanyakan rakyat Selangor yang tinggal di kawasan 'popular' itu sudah lama menderita dari segi 'bau yang harum semerbak'. Pindahlah kalau boleh makhluk berkaki empat tu di kawasan lain. Pulau Ketam ke atau di kawasan yang jauh dari penduduk. Barulah rakyat Selangor khususnya dapat hidup sejahtera. Kita tidak mahu luka lama berdarah kembali. Cukuplah peristiwa di Bukit Pelanduk menjadi ikhtibar. Orang Islam juga tidak terkecuali menjadi mangsa walaupun bukan penternak babi itu. Kita sebagai orang Islam perlu faham tentang perkara ini. Jangan jadikan Malaysia sebagai pengeksport babi utama dunia suatu hari nanti.